Nuffnang Ads

Followers

Tuesday, 8 May 2018

Kumang Gawai, Adakah ia relevan pada masa kini?

Few years back I was asked to answer some questions about Kumang Gawai and its relevance being held nowadays. Basically, I find that ethnic pageantry is still relevant provided that it has the objective of educating the community of their history, past cultures and its the culture's relevance in this present age

Taking Borneo Hornbill Festival 2018 as an example which I was the alumni since 2011; it encourages the contestants to do research on the material that they want to present. This requires one to really dive into the topic and dissect it so that it would be beneficial for the contestants and also to BHF as a whole




The year 2018 has brought Borneo Hornbill Festival to Borneo instead of being held in Kuala Lumpur for the past 10 years since its establishment. I had the opportunity to be one of the panel jury for this year's competition and I can see a lot of improvement from the quality of contestants who joined. Next year BHF will be held in Kota Kinabalu and we hope to be able to reach to more culture enthusiasts.

Well, here goes...

1: Secara peribadi, boleh jelaskan sedikit pertandingan kumang gawai? apa ciri-ciri seseorang itu untuk menjadi 'kumang gawai' yang baik, adakah kecantikan semata-mata?

Secara amnya, pertandingan Kumang Gawai adalah acara yang sering dinantikan menjelang perayaan Gawai Dayak, tidak kira baik dari suku kaum Iban, Bidayuh mahupun Orang Ulu. Menjelang perayaan Gawai kita akan dapati banyak pertandingan Kumang Gawai diadakan di Sarawak seperti peringkat Kampung, Daerah dan Bahagian sepanjang bulan Mei sehingga 1 Jun.

Sebelum saya menjelaskan lebih terperinci lagi mengenai Kumang Gawai, ingin saya membawa para pembaca untuk mengenali siapakah Kumang dalam dan signifikan beliau dalam masyarakat Iban. Kumang bermaksud “dewi ibu” dalam mitos Iban yang terkenal dengan bakat beliau dalam menenun pua kumbu dan menganyam yang sangat tinggi. Kumang juga bersifat lemah-lembut dan mempunyai kecantikan yang tiada tolok bandingannya selain daripada mempunyai ciri-ciri ideal seorang wanita. Atas dasar itu Kumang adalah dewi ibu yang sangat dihormati dan boleh dikatakan menjadi inspirasi atau idola bagi wanita Iban kerana mempunyai ciri-ciri tersebut.



Berbalik kepada pertandingan Kumang Iban, kita sering mendengar bahawa tiket kemenangan untuk mendapat gelaran Kumang dalam satu-satu pertandingan Kumang Gawai adalah berdasarkan kecantikan paras rupa seseorang wanita tersebut. Kenyataan itu mungkin benar bagi pertandingan yang diadakan pada zaman dahulu, akan tetapi sejajar dengan arus pemodenan sekarang, pertandingan Kumang Gawai tidak hanya melihat kepada kecantikan seseorang bahkan beliau dinilai dari segi kebijaksanaan beliau dalam menjawab soalan, pakaian tradisi yang dipakai lebih-lebih lagi set pakaian yang asli dan tersusun rapi selain daripada bakat-bakat lain yang mungkin ada pada calon-calon tersebut.

Ingin saya mencuri perhatian para pembaca kepada pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Warisan Sarawak di Kuala Lumpur iaitu Borneo Hornbill Festival pada setiap tahun. Sepertimana yang kita tahu, lazimnya pertandingan Kumang Gawai yang diadakan di Sarawak mensyaratkan pemakaian Ngepan Iban yang “standard” sebagai salah satu syarat untuk bertanding. Borneo Hornbill Festival pula adalah platform bagi para peserta untuk memperagakan ngepan Iban yang lama yang pernah wujud pada suatu ketika dahulu.

Pada tahun 2011, saya telah dinobatkan sebagai Kumang Iban Borneo Hornbill Festival dengan memperagakan Ngepan Rawai Tinggi dari suku kaum Iban Saribas. Ngepan ini adalah agak ringkas pemakaiannya berbanding dengan ngepan yang selalu kita lihat pada masa kini. Keistimewaannya ialah rawai tinggi yang diperbuat daripada tembaga dan rotan yang dipakai melitupi dada sehingga ke pinggang si pemakai. Ngepan ini juga dilengkapi dengan kain kebat pua kumbu yang ditenun sebagai kain pendek pemakainya. Akhir sekali pemakaiannya dilengkapkan dengan sugu tinggi, tumpa, gelang kaki dan lampit.

Kemenangan ngepan ini telah mencetuskan kontroversi kerana tidak pernah dipertontonkan dalam mana-mana pertandingan Kumang dan tidak kurang juga yang mempersoalkan kewujudan ngepan tersebut. Atas sebab itu saya telah mewujudkan sebuah blog yang menjelaskan kewujudan ngepan rawai tinggi dan juga asal usul ngepan tersebut. Tidak terhenti di situ sahaja, saya juga memakai ngepan rawai tinggi tersebut pada sesi bergambar pra-perkahwinan dan juga pada hari perkahwinan saya. Hari demi hari ngepan rawai tinggi semakin mendapat perhatian oleh masyarakat Iban terutamanya untuk “mencari” ngepan ini di serata tempat dan saya gembira kerana melalui kontroversi itu ianya telah mencetuskan inspirasi bagi mereka untuk mempelajari ngepan Iban yang lama.

Sehingga ke hari ini peserta-peserta Borneo Hornbill Festival telah menjadikannya platform kepada banyak ngepan Iban yang lama yang mungkin hanya kelihatan di muzium ataupun buku-buku dan jurnal-jurnal sejarah sahaja. Sebagai salah seorang yang aktif terlibat dalam Borneo Hornbill Festival saya melihat ianya bukan pertandingan kecantikan semata-mata, malah ia adalah unik kerana mensyaratkan para peserta untuk mengkaji asal-usul pakaian tersebut serta melakukan kajian-kajian budaya mereka seperti adat resam, tusun tunggu, tarian ngajat, makanan, perayaan dan sebagainya. Peserta dinilai melalui pengetahuan mereka mengenai kajian tersebut dan juga personaliti dan disiplin mereka.

Pada pendapat saya, pemilihan seseorang Kumang Gawai sebaik-baiknya bukan hanyalah daripada kecantikan luaran sahaja, kerana kecantikan itu adalah sangat subjektif. Selain daripada itu, budi pekerti seseorang wanita itu juga sangat penting kerana bakal Kumang Gawai tersebut akan menjadi contoh kepada masyarakat umum. Seorang bakal Kumang Gawai juga harus mempunyai daya pemikiran yang tinggi dan bijaksana kerana beliau akan menjadi contoh kepada masyarakat sekelilingnya.

2: Boleh jelaskan perincian mengenai pakaian tradisional wanita Iban dan bagaimana untuk menilai set pakaian yang baik.

Sepertimana yang kita tahu salah satu kriteria bagi menentukan kemenangan Kumang Gawai adalah melalui pekaian baju tradisionalnya iaitu dikenali sebagai ngepan. Perlu diingatkan bahawa di Sarawak terdapat pelbagai jenis suku dalam Iban seperti suku Saribas, Batang Ai, Batang Rajang, Balau, Undup dan sebagainya. Oleh itu cara pemakaian ngepan adalah berbeza mengikut suku dan kawasan. Sebagai contoh, pada masa dahulu suku kaum Saribas adalah terkenal dengan pemakaian ngepan Rawai tinggi mereka iaitu korset tembaga yang meliputi bahagian dada sehingga pinggang bersama-sama dengan kain kebat iaitu kain pendek pua kumbu. Iban Balau pula dikenali dengan pemakaian baju Kuas atau Kapuas yang mana hiasan dada yang berwarna hitam dan berlabuci dipakai sebagai melengkapkan ngepan mereka, bagi Iban di Kapit pula mereka mempunyai ngepan yang khas di mana hiasan kepala mereka diperbuat daripada manik lama yang dikenali sebagai Dujung Marik dan dilengkapkan dengan baju marik yang diperbuat daripada manik-manik lama.



Di Sarawak, tidak banyak pertandingan yang menganjurkan pertandingan yang membenarkan pemakaian baju Iban yang lama seperti yang dinyatakan terdahulu. Pemakaian ngepan bagi pertandingan zaman sekarang adalah lebih kepada ngepan yang sering kita lihat iaitu lengkap dengan sugu tinggi (hiasan kepala), marek empang/tango (hiasan dada yang diperbuat daripada manik), selampai (selendang panjang yang ditenun), lampit (tali pinggang perak), kain kebat atau kain karap (sebagai skirt pendek), tumpa (gelang perak), rawai, sementing ringgit/sementing buchai, buah pauh (aksesori perak yang dipegang), perca (sapu tangan) dan geruncong kaki (gelang kaki). Pemarkahan tinggi akan diberikan kepada aksesori yang asli dan juga pemakaian yang disusun dengan rapi serta betul susunannya.

3:Apa signifikannya penganjuran kumang gawai yang banyak diadakan menjelang perayaan gawai.

Pertandingan Kumang Gawai seringkali diadakan menjelang perayaan Gawai Dayak sebagai memeriahkan sesebuah majlis kerana ia menjadi “highlight” utama bagi majlis tersebut selain daripada memperingati Kumang sebagai dewi Ibu masyarat Iban. Dalam pada masa yang sama, pertandingan Keling Gawai juga turut diadakan iaitu pertandingan yang melibatkan penyertaan pihak lelaki untuk memperagakan kegagahan mereka sebagai Keling Iban atau Dewa pahlawan Iban melalui pemakaian ngepan khas bagi lelaki Iban.

4: Nasihat kepada belia wanita iban di luar mengenai kepentingan pemuliharaan seni budaya masyarakat Iban. Apa yang perlu mereka lakukan?

Pada pendapat saya pemuliharaan seni budaya adalah penting bagi setiap masyarakat. Tanpa budaya maka tidak wujudlah ketamadunan sesebuah masyarakat. Budaya melambangkan identiti, dengan wujudnya identiti wujudlah jati diri. Sebagai belia wanita Iban, kita haruslah mengenali asal usul kita bagi mengenali jati diri kita. Mungkin senang untuk kita mencari asal usul kita akan tetapi dalam pada masa kita mencari asal usul tersebut kita harus memahami dan mendalaminya. Proses ini bukan sehari dua, ianya adalah pembelajaran sepanjang hayat. Bagi saya, mendapat sumber dari orang tua melalui perbualan seharian adalah salah satu cara untuk mendapatkan ilmu tersebut selain daripada tidak jemu mengumpul ilmu melalui bahan bacaan sejarah dan juga pakar-pakar budaya.   


Kredit gambar-gambar penghias : Akaun Facebook Agnes Berangan Jilum